Thursday, 19 May 2011

Kembali Dipersada Liga



Penyerang Kelantan, Muhammad Ramzul Zahini cuba melepasi kekangan pemain pertahanan tuan rumah, Rashid Mahmud dalam perlawanan malam tadi.
KL FELDA UNITED FC 1
Mohd Hasmarul Fadzir Hassan (m-85)
KELANTAN 3
Muhd Badhri (m-30)
Rashid Mahmud (gol sendiri m-46)
Norshahrul Idlan Talaha (pen m-88)
KUALA LUMPUR – Kelantan kembali merampas kedudukan selaku pendahulu liga setelah mengalahkan KL Felda United FC 3-1 dalam aksi perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.
Malah, kejayaan T-Team mengalahkan Selangor 2-1 pada aksi perlawanan yang berlangsung sebelah petang di Kuala Terengganu sebelum itu memberi perkhabaran gembira kepada anak buah Datuk M Karathu untuk kembali bermotivasi tinggi merampas gelaran selaku pendahulu liga malam tadi.
Seawal minit kelima, Felda United FC diberikan ‘sepakan penalti kontroversi’ setelah penjaga garisan mengesan bola terkena tangan Mohd Farisham Ismail didalam kotak penalti. Namun penyerangnya, Azrul Ahmad mensia-siakan peluang terbaiknya apabila sepakan keduanya diselamatkan Khairul Fahmi Che Mat setelah sepakan pertamanya dibatalkan sebelum itu.
Pada m-25, Felda United kembali mencemaskan pintu gol Kelantan apabila sepakan percuma oleh Mohd Lot Abu Hassan ditanduk kemas Mohd Nizaruddin Yusoff namun Khairul Fahmi pantas menyelamatkan keadaan.
Selang dua minit kemudian, berpunca serangan balas, Chow Chee Weng pantas menyilang bola ke dalam kotak penalti namun tampanan kurang kemas Mohd Nizaruddin menyaksikan bola  tersasar disebelah kanan biarpun Khairul Fahmi sudah pun tertewas dipintu gol Kelantan.
Disebalik asakan bertali arus pemain tuan rumah, Ketua Pasukan Kelantan, Muhd Badhri menceriakan penyokong setia The Red Warriors apabila menjaringkan gol pertama pada m-30. Berpunca hantaran lintang Mohd Daudsu Jamaluddin ke dalam kotak penalti, Muhd Badhri pantas menanduk tepat menewaskan Mohd Hamsani Ahmad untuk menghasilkan gol pertama Kelantan.
Empat minit berselang, penyerang terbilang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha mensia-siakan peluang terbaiknya untuk menjarakkan kedudukan Kelantan setelah menyepak liar ke sebelah kiri pintu gol biarpun hanya berhadapan Mohd Hamsani didalam kotak penalti pasukan tuan rumah.
Minit-minit akhir babak pertama, Felda United FC gagal menyamakan kedudukan apabila rembatan Mohd Lot hanya sedikit tersasar disebelah kanan pintu gol Kelantan.
Seminit babak kedua bersambung, Kelantan berjaya menjadikan kedudukan selesa setelah mendahului 2-0. Pemain pertahanan tuan rumah, Rashid Mahmud tertolak bola ke gawang sendiri setelah gagal membaca tepat hantaran mengelirukan Mohd Nurul Azwan Roya ke dalam kotak penalti pasukannya.
Biarpun ketinggalan dua gol, anak buah E Elavarasan jelas tidak mudah patah semangat malah lebih bersemangat untuk merapatkan jurang namun tandukan terbang bekas penyerang kebangsaan, Mohd Nizaruddin pada m-56 berpunca hantaran lintang Mohd Lot dibatalkan oleh pengadil setelah dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.
Tiga minit kemudian, pemain tengahnya, Chow Chee Weng sempat memperdayakan Mohd Daudsu didalam kotak penalti Kelantan namun rembatan kencangnya pula dinafikan oleh Khairul Fahmi.
Felda United FC turut mempunyai dua terbaik untuk merapatkan jurang selepas itu apabila rembatan kencang K Rajan pada m-75 terus ke dakapan Khairul Fahmi sementara tandukan cantik pemain gantian, Amir Shahreen Abd Mubin tiga minit kemudian sedikit tersasar daripada pintu gol Kelantan.
Pada m-85, Felda United FC memperolehi gol saguhati mereka menerusi tandukan cantik Mohd Hasmarul Fadzir yang menyambut baik sepakan percuma pemain gantian, Mohd Syazwan Zainon.
Namun kegembiraan pemain tuan rumah meraikan jaringan tersebut tidak bertahan lama apabila Kelantan kembali menjadikan kedudukan 3-1 tiga minit selepas itu. Tindakan Abdul Ghani Abdul Rahman mengasari Mohd Nurul Azwan didalam kotak penalti akhirnya mengundang padah apabila pengadil tidak teragak-agak memberikan sepakan penalti untuk Kelantan.
Norshahrul Idlan mudah menyempurnakan sepakan itu untuk menghasilkan gol ketiga Kelantan seterusnya membunuh semangat juang pemain Felda United FC untuk mencipta kejutan dalam perlawanan malam tadi.
Kesebelasan utama pemain :
KL FELDA UNITED FC : Mohd Hamsani Ahmad (KP) (Mohd Faizal Abd Rashid), Abdul Ghani Abd Rahman, Rashid Mahmud, Mohd Hasmarul Fadzir Hassan, Ramesh Lai Ban Huat, K Rajan, Mohd Lot Abu Hasan (Amir Shahreen Abd Mubin), Azi Shahril Azmi, Chow Chee Weng (Mohd Syazwan Zainon), Mohd Nizaruddin Yusoff dan Mohd Azrul Ahmad.
FORMASI : 4-4-2
KELANTAN : Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Daudsu Jamaludin, S Subramaniam, Mohd Farisham Ismail, Zairul Fitree Ishak, Mohd Nurul Azwan Roya, Muhd Badhri Radzi (KP) (Danial Fadzly Abdullah), Mohd Shakir Shaari (Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid), S Chanturu, Muhammad Khalid Jamlus (Muhammad Ramzul Zahini Adenan) dan Norshahrul Idlan Talaha.
FORMASI : 4-4-2

Felda United 1-3 Kelantan

Wednesday, 18 May 2011

Kelantan Ke Final Piala FA.


RedsFC
RedsFCNews@gmail.com

Kelantan layak ke perlawanan akhir Piala FA 2011 selepas menundukkan Selangor dengan agregat 6-2.

Keputusan seri 1-1 di Kota Bharu tidak menghalang Sang Kijang untuk menjejak pentas final buat kali kedua setelah mencatatkan kemenangan besar di tempat lawan, baru-baru ini.


Perlawanan dimulakan dengan Kelantan mengatur serangan awal kearah kubu pasukan Selangor namun ketumpulan penyudah membantutkan usaha tersebut.

Kelantan memulakan serangan dengan sepakan tinggi ketua pasukan, Mohd Badri Radzi pada minit ke-4.


Sehinggalah pada minit ke-9, hasil dari kekalutan diluar kotak penalti Selangor, Shakir Shaari melepaskan satu sepakan kencang kearah pintu gol Selangor menewaskan Iqbal Suhaimi untuk gol pertama Kelantan.

Gol tersebut nyata menyemarakkan semangat pemain Kelantan untuk menambah jaringan berbekalkan sokongan padu hampir 30 000 penyokong setia The Red Warriors.

Kelantan dapat Stadium Baru.


RedsFC
RedsFCNews@gmail.com

Kerajaan Negeri Kelantan dibawah pentadbiran Y.A.B Tuan Guru Datuk Bentara Setia Nik Abdul Nik Aziz Nik Mat mengumumkan sebuah kompleks sukan yang akan menempatkan sebuah stadium berkapasiti 40 000 tempat duduk akan dibina di bandar baru Bukit Merbau, Pasir Puteh tidak lama lagi.

Kenyataan media Menteri Besar Kelantan ini dibacakan kepada umum selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kelantan, tengahari tadi.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan tersebut, stadium ini akan dibina diatas tanah Kerajaan Negeri di Bukit Merbau bersekali dengan Bandar Baru untuk kegunaan sukan dan riadah di Kelantan.

Selain menempatkan sebuah stadium, kompleks sukan ini juga akan memuatkan masjid di merata-rata bahagian untuk kemudahan rakyat menunaikan ibadah ketika hadir menyaksikan acara sukan yang diadakan disini.

Tujuannya ialah ingin merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri untuk melihat aktiviti sukan di Kelantan tidak terpisah dengan roh Membangun Bersama Islam yang menjadi dasar pentadbiran kerajaan sejak 21 tahun lalu.

Kerajaan Negeri juga berharap dengan pembinaan kompleks ini menjadikan aktiviti sukan di Kelantan terus berdaya maju selaras dengan hasrat membina masyarakat sihat dari aspek jasmani dan rohani.